Puting Luka

Sumber: http://pama.karangkraf.com/s-j/puting-luka-1.10039

Rita Rahayu Omar (2011). S&J Laktasi: Puting Luka. Majalah Pa&Ma, November: hlm 34.

Diakses pada: 20/2/2012. 5.57 pagi.

Oleh: Editorial PaMa
Tarikh: 5 Disember 2011       

S : Saya bersalin secara caesarean dan hanya menyusukan bayi pada hari kedua. Oleh kerana cara menyusukan tidak betul, puting luka dan kadang kala mengeluarkan darah. Saya menghentikan penyusuan terus tetapi memberi susu perahan melalui botol kerana tidak tahan sakit. Walaupun bayi tidak lagi menyusu terus dan saya mengepam untuk memberinya susu, puting masih luka walaupun 2 bulan sudah berlalu.

Zura
Dungun, Terengganu

J :Saya sering mendengar keluhan para ibu yang menghadapi masalah dalam penyusuan susu ibu jika melahirkan bayi melalui kaedah caesarean. Secara peribadi, saya bersimpati terhadap nasib anda kerana saya sendiri melahirkan ketiga-tiga anak secara caesarean. Bagi anda yang melahirkan bayi melalui caesarean, ketahuilah anda boleh menyusukan bayi tanpa perlu khuatir. Apa yang penting ialah anda perlu pelajari dan mengaplikasikan posisi penyusuan bersesuaian dengan keadaan diri selepas bersalin.

Antara posisi penyusuan yang sering diakui selesa untuk anda dan bayi ialah lying down dan football hold (clutch hold). Namun, bagi yang pertama kali bergelar ibu, mungkin agak kekok untuk menggunapakai kedua-dua posisi ini. Jadi, pelajarilah dan praktikkan posisi ini lebih awal agar anda biasa dengannya. Dapatkan bantuan Perunding Laktasi ataupun kaunselor laktasi anda!

Bagi mengurangkan kesakitan luka pembedahan, anda digalakkan untuk menyediakan kusyen sokongan seperti bantal, tilam kecil dan lain-lain yang boleh digunakan untuk mengalas bahagian abdomen supaya berat bayi tidak menekan bahagian luka berkenaan jika anda ingin menyusukannya menggunakan posisi cradle hold.

Selain daripada itu, bahagian belakang badan turut perlu disokong dengan bantal. Gunakan lebih banyak agar anda boleh bersandar dan tidak perlu terlalu membongkok. Dalam pada itu, pastikan bayi turut disokong dengan bantal mencukupi. Pastikan juga posisi badan bayi dalam keadaan yang betul (perut ke perut) walaupun kedudukannya di atas bantal. Jika anda mahu menyusu sambil berbaring dan tidak mahu mengubah posisi mengiring ke kiri ataupun ke kanan, bolehlah mengiring pada satu arah sahaja. Jika bayi ingin menyusu pada sebelah payu dara lagi, tinggikan bayi dengan menggunakan bantal supaya dia berada sama paras dengan payu dara. Anda boleh kreatif dalam hal ini!

Berkaitan isu puting luka pula, ada beberapa kemungkinan :
1. Dikhuatiri saiz corong yang digunakan tidak sesuai. Setiap pam payu dara didatangkan dengan saiz corong yang standard iaitu 24mm. Jika corong terlalu kecil, puting dan sebahagian besar areola akan tersangkut di bahagian dalam corong. Puting dan areola seharusnya bergerak bebas jika saiz corongnya sesuai.

2. Kekuatan sedutan pam harus pada tahap yang terkawal dan selesa. Kuat tidak bermakna lebih baik! Ia boleh mencederakan anda!

3. Penyalahgunaan pam (mengepam terlalu lama). Jika anda mengepam lebih daripada 30 minit setiap sesi, itu terlalu lama. Ia boleh menyebabkan trauma pada puting. Hadkan masa tetapi fokus kepada kebolehan anda untuk mendapatkan refleks pancutan dengan melakukan stimulasi sebelum memulakan sesi memerah. Ini boleh dilakukan dengan urutan, menggentel, sentuhan dan lain-lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments are closed.