Bayi kembung perut

Sumber: Noor Hasliza Nusi (2010). Bayi kembung perut. Kosmo Online. 18 Mei.

Bagaimana menangani gejala yang lazimnya berlaku di kalangan bayi?


SATU perlima daripada bayi akan mengalami kembung perut.

SI manja yang asyik meragam dan menangis sepanjang hari pastinya menimbulkan kebimbangan si ibu. Walaupun cuba dipujuk berkali-kali dengan memberi susu, namun tangisannya masih berterusan.

Keadaan itu mungkin disebabkan si manja berasa tidak selesa sama ada lapar, membuang air besar, lampin yang basah atau ingin dibelai.

“Tetapi, jika tangisannya berbeza daripada biasa seperti menjerit dengan wajahnya berubah menjadi merah, perut kembung dan kakinya ditarik ke bahagian perut sehingga tangisannya tidak reda selepas dibelai serta kerap mengeluarkan angin, kemungkinan besar dia mengalami kembung perut atau colic.

Begitulah penjelasan Profesor Pediatrik, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS ), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Musa, seperti kebanyakan penyakit lain punca sebenar kembung tersebut masih belum diketahui.

“Tiada satu rawatan yang mutlak. Mungkin disebabkan terdapat udara berlebihan di dalam usus, kecutan otot-otot usus ataupun ketidakmatangan urat saraf di bahagian usus.

“Malah, bagi bayi yang minum susu ibu, ia mungkin disebabkan sensitiviti atau alahan terhadap apa yang dimakan si ibu,” jelas beliau. Kata Musa, bayi akan berhadapan dengan situasi kembung perut di antara pukul 6 petang hingga 12 malam.

Bagaimana dengan gejalanya? “Ia terjadi sewaktu bayi berusia tiga minggu selepas kelahiran dan mungkin berlanjutan sehingga bayi berumur tiga bulan.

“Kebiasaannya, satu perlima daripada bayi akan mengalami kembung perut antara dua hingga empat minggu.

“Kembung perut akan hilang apabila bayi berumur tiga bulan,” jelas Musa.

Bagi mengatasi simptom kembung perut agar tidak berlarutan sehingga lewat pagi, ibu seharusnya mengelakkan produk-produk yang boleh merangsang kembung perut.

“Jika ibu memberi susu badan, cuba elakkan produk yang mengandungi kafein. Seeloknya, berilah bayi minum susu ibu kerana ia merangsang tumbesaran otak bayi.

“Jika ibu memberi bayinya susu formula, mereka seharusnya menukarnya kepada produk tanpa susu lembu seperti susu soya atau formula HA hypoalergenic.

Katanya, ibu bapa masa kini tidak didedahkan secara terperinci mengenai kaedah terbaik sekiranya berdepan dengan gejala tersebut.

KEMBUNG perut mungkin disebabkan udara berlebihan.

Langkah terbaik, jelas Musa, adalah bawa bayi berjalan dengan menggunakan kaedah kangaroo carrier untuk melegakannya.

“Di samping itu, irama berentak perlahan kadang-kadang boleh membantu mengurangkan simptom kembung perut bayi. Contohnya, seperti memasang muzik perlahan atau klasik.

“Sesetengah bayi akan berhenti apabila mereka menghisap puting. Kenapa?

MUSA MOHD. NORDIN.

 

“Mengikut amalan tradisi, anda seharusnya meletakkan perut bayi di atas bahagian lutut anda dan usap bahagian belakang juga boleh meredakan kembung perut,” katanya.

Musa menasihatkan, sekiranya masih tidak berjaya, sebaiknya bayi itu dibawa berjumpa dengan doktor. Doktor akan pastikan tiada penyakit lain dan mungkin memberi ubat kembung perut.

BAWA bayi anda berjalan seperti kanggaru bagi melegakan keadaan dirinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments are closed.