NOTA PENTING: Saya akan bercuti dari menjawab soalan berkaitan penyusuan di FB, email & blog mulai 28/8/2010-19/9/2010 utk merebut peluang beribadah di akhir Ramadhan, mengkhatamkan quran & berhari raya. (Utk pengetahuan, saya tidak akan menjawab soalan yang diberi tanpa merujuk buku/artikel dari sumber yang sahih). Sesiapa yang memberi soalan di email, semak folder SPAM kerana kadang-kala email saya di SPAM. Selamat beramal!
![]()
~Sticky Post~
Mari mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu.
Dapatkan keychain, lencana, pelekat kereta dan magnet peti sejuk di kedai DuniaSusuIbu.
Promosi Ramadhan: 11/8/2010 hingga 9/9/2010 .
Kos penghantaran adalah sebanyak RM5 (flat rate).
Rebut promosi ini sebelum ia dinaikkan semula kepada RM7 !
Assalamualaikum wbt / salam sejahtera.
Selamat datang ke Dunia Susu Ibu
.
Jemput melawat ke:
Nota: Pengisian ini telah dijadualkan untuk disiarkan di DuniaSusuIbu.com pada 3/9/2010
Sumber: Nurul Izza Rosly (2010). Susu ibu tidak akan kering. Kosmo!. 20 Ogos.
UMUM mengetahui mengenai kebaikan susu ibu yang mengandungi antibodi melindungi bayi daripada serangan penyakit. Jika beberapa tahun lalu, menyusu badan tidak dilihat sebagai trend, kini kian ramai para ibu cenderung mempraktikkannya demi kelestarian kesihatan si kecil.
Tidak timbul lagi soal malu atau segan menyusukan anak di khalayak ramai, walaupun ada mata-mata nakal mencuri pandang.
Namun, bagi ibu yang menyusukan bayi buat pertama kali kedatangan bulan Ramadan menimbulkan sedikit kegusaran kerana khuatir pengeluaran susu berkurangan malah, mungkin tiada susu yang dapat dikeluarkan kerana menjalani ibadah puasa.
“Memang ada segelintir ibu yang berasa bimbang jika tidak dapat menghasilkan susu badan sebanyak seperti hari-hari biasa.
“Tetapi sebenarnya, para ibu tidak perlu gusar kerana penghasilan susu akan tetap sama jika aktiviti pengurusan penyusuan ibu itu dijalankan seperti normal dan ia menjadi amalan berterusan,” kata Zatul Hijanah Ramzi.
Elak tertekan
Menurut Zatul Hijanah yang merupakan Kaunselor Laktasi Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC), tanggapan sesetengah ibu mengenai susu badan akan kering ketika berpuasa adalah tidak benar.
“Walaupun kita tidak makan dan minum pada siang hari, ia tidak bermakna ibu tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk keperluan bayi,” ujarnya.
Terang beliau, ini kerana ibu masih lagi mengambil makanan dan minuman pada waktu malam iaitu selepas berbuka dan sehingga waktu Imsak.
Bagaimanapun, tegas Zatul Hijanah, seseorang ibu tidak seharusnya mengelakkan atau mengambil mudah amalan bersahur kerana ia adalah bekalan tenaga dan air untuk tubuh ibu sepanjang hari.
“Seseorang ibu seharusnya meminum air yang mencukupi selepas berbuka sehingga waktu Imsak. Sekiranya tidak bersahur dan kekurangan air, tubuh ibu akan mengalami dehidrasi yang boleh menjadi penyebab kepada kurangnya penghasilan susu,” jelas beliau.
Bagaimanapun katanya, wanita tidak seharusnya terlalu memikirkan mengenai ibadah puasa yang akan menyebabkan mereka kekeringan susu kerana kebimbangan melampau sehingga menyebabkan stres yang sebenarnya boleh mendorong kepada kemerosotan kuantiti susu badan.
Jelas beliau penghasilan susu boleh merosot bukan disebabkan ibadah berpuasa, sebaliknya kerana stres yang dialami oleh ibu sehingga menghalang refleks ejeksi susu atau let down. Oleh itu, ibu perlu bertenang dan menjalani rutin harian seperti biasa.
Jangan putus asa
Malangnya bagi ibu yang beranggapan susu akan berkurangan sewaktu berpuasa, akan mula ragu-ragu dengan kebolehan mereka untuk terus membekal dan menghasilkan kuantiti susu yang banyak.
Disebabkan tanggapan itu, ada ibu yang mula berputus asa apabila melihat kuantiti susu agak berkurangan pada hari pertama berpuasa sehingga menyebabkan mereka mula mengurangkan aktiviti mengepam susu badan. Malah, ada ibu yang berhenti terus daripada berbuat demikian. Jika anda mengambil tindakan seperti itu, maka penghasilan susu akan semakin berkurangan kerana kurangnya permintaan.
“Badan kita ini unik kerana dalam proses penyusuan sebenarnya faktor dan konsep ‘permintaan dan penawaran’ adalah amat penting.
“Semasa proses penyusuan, hormon-hormon seperti prolaktin dan oksitosin akan terlibat. Prolaktin adalah hormon yang menghasilkan susu dan oksitosin pula merupakan hormon yang merembeskan keluar susu ibu. Namun begitu, terdapat satu lagi faktor yang berkait rapat dengan konsep permintaan dan penawaran tadi. Hormon yang dimaksudkan ialah Feedback Inhibitor Of Lactation (FIL) yang juga merupakan sejenis protein yang terdapat dalam susu yang berkumpul dalam payu dara ibu,” jelasnya.
FIL memberi tindak balas secara negatif kepada proses penghasilan susu. Apa yang dimaksudkan dengan tindak balas negatif tersebut?
FIL akan mula berkumpul dalam payu dara apabila kurangnya rangsangan dan payu dara tidak dikosongkan dengan betul (hanya sedikit susu yang dikeluarkan daripada payu dara). Tidak kiralah sama ada kekurangan rangsangan itu daripada kurangnya hisapan oleh bayi atau pun kurangnya aktiviti mengepam keluar susu sewaktu bayi tidak bersama ibu.
Tahap FIL yang tinggi ini akan mula memberikan isyarat agar penghasilan susu perlu dikurangkan kerana kurangnya permintaan.
“Ia akan menjadi sebaliknya pula jika payu dara sering dikosongkan. Peratusan FIL dalam payu dara akan menjadi rendah dan seterusnya menghantar isyarat supaya lebih banyak susu perlu dihasilkan oleh ibu.
![]() |
|
PARA ibu yang menyusukan bayi ketika bulan puasa perlu mengepam susu dengan lebih kerap berbanding bulan-bulan biasa.
|
“Oleh itu, susukan bayi dengan kerap dan bagi ibu yang bekerjaya atau pun yang berjauhan dengan bayi pula, jangan lupa untuk mengepam susu pada setiap dua jam atau tiga jam sekali,” jelasnya.
Terang beliau, kaum ibu juga tidak perlu bimbang mengenai zat dan nutrien dalam susu badan sepanjang bulan Ramadan.
Berlatih sejak Syaaban
Sementara itu, wanita yang bakal menimang cahaya mata kelima, Kartina Md. Khalid, 37, memberitahu, pengalaman menyusukan bayi pada bulan Ramadan adalah agak sukar dan mencabar kerana badan mudah menjadi letih.
“Apa yang saya lakukan adalah mengambil makanan yang seimbang dan mengatur program pemakanan sendiri. Apabila bekerja, saya akan mengepam susu untuk anak saya.
“Pada dua minggu terakhir Syaaban, saya melatih diri saya supaya kurangkan makan tengah hari dan dalam masa yang sama mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya yang merupakan penterjemah dan penyunting sambilan.
Tambahnya, menyusukan anak lelaki lebih mencabar dan ibu memerlukan lebih banyak tenaga. Untuk itu si ibu perlu makan nasi yang banyak ketika bersahur manakala bagi anak perempuan pula, si ibu boleh mengurangkan pengambilan nasi tetapi melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Para ibu tidak perlu risau kerana susu badan sentiasa ada. Ibu perlu mencari rentak badan sendiri. Pada awal Ramadan memang meletihkan terutamanya pada tiga hari pertama berpuasa.
“Kita akan lihat perbezaan kuantiti dan kualiti pada bulan puasa. Apa yang perlu dilakukan adalah ubah corak pemakanan dengan minum lebih banyak air dan pam susu dengan lebih kerap,” ujarnya.
Tegas Kartina, jangan sekali-kali berhenti menyusukan anak kerana jika permintaan susu kurang, pengeluaran akan turut merosot.
1 Hari 1 Tazkirah: Dari Umar bin Khattab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Yang paling aku takutkan terhadap ummatku ialah si munafiq (orang fasiq yang riya’) yang pandai pada lidah (bercakap perkara-perkara keilmuan tetapi dirinya kosong dari iman dan amal). (HR Baihaqi)
Nota: Pengisian ini telah dijadualkan untuk disiarkan di DuniaSusuIbu.com pada 1/9/2010.
Sumber: Siti Zarinah Sahib (2010). Perangkap kerjaya, anak. MyMetro. 11 Ogos.
RAMAI ibu mengetahui kebaikan susu ibu, namun masih ramai yang tidak dapat menyusukan anak mereka secara eksklusif enam bulan, seterusnya dua tahun disebabkan pelbagai masalah.
PRODUK PENYUSUAN…ibu perlu mempunyai peralatan seperti beg penyejuk, ais penyejuk berbentuk gel dan pam susu sama ada manual atau elektrik.
Ada yang memberi alasan tiada pengalaman, tidak mendapat sokongan, menyusahkan, meletihkan serta tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi.
Ada juga ibu bertekad menyusu anak terutama ibu bekerja tetapi hasrat itu terhalang disebabkan kekangan waktu memerah susu serta tiada tempat sesuai melakukan aktiviti itu.
Di Malaysia, peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif masih rendah berbanding negara Asia lain iaitu kira-kira 16 peratus saja. Statistik menunjukkan Malaysia adalah negara terendah bagi penyusuan bayi secara eksklusif dan negara tertinggi pengguna susu formula.
Ini disebabkan pengeluar makanan bayi berlumba-lumba mengiklankan makanan tambahan yang lain agar diberi pada usia terlalu muda, juga mitos mengatakan cara paling ideal membesarkan bayi adalah dengan memberi susu formula dan penyusuan melalui botol.
Konsep ini secara langsung dan tidak langsung, berjaya melekat dalam minda wanita bergelar ibu yang bayi mereka memerlukan susu formula dan makanan tambahan, pada hal susu ibu menyediakan semua khasiat diperlukan tubuh bayi.
Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, yang berpengalaman mengendalikan kelas penyusuan susu ibu dan seminar keibubapaan, kegagalan ibu bekerja menyusukan anak mereka kerana kurang kefahaman mengenai kaedah penyusuan, tidak bersedia menyusukan anak mereka serta tidak cukup cekal.
TERUSKAN PENYUSUAN…walaupun mengandung anak ketiga, Nor Farah masih meneruskan penyusuan untuk anak keduanya, Puteri Syasya Adalea
Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Ini bermakna selama enam bulan, bayi tidak diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selain daripada susu ibu.
Berdasarkan pengalaman Nor Farah yang menjalankan bimbingan penyusuan kepada ibu, antara masalah yang sering dinyatakan ialah kekhuatiran mereka sekiranya tidak dapat menyusukan anak selepas kembali bekerja disebabkan jadual kerja yang padat, bimbang dengan persekitaran serta majikan yang tidak memahami serta tidak dapat menyediakan keperluan susu yang cukup.
Justeru, pengetahuan mengenai penyusuan sangat penting untuk membantu ibu berkerjaya meneruskan penyusuan susu ibu.
“Kesibukan bekerja bukanlah halangan untuk menyusukan anak secara eksklusif. Teknik penyusuan dan perahan penting bagi ibu yang ingin memulakan kerja selepas bersalin. Tidak mustahil sekiranya ibu mampu menyusukan anak sehingga dua tahun.
“Ini kerana susu ibu mempunyai 1,001 khasiat bagi bayi hingga mereka meningkat dewasa. Jika ibu mengalami kesukaran dalam menyusukan anak, ibu harus merujuk kepada pakar laktasi terlatih yang amat menyokong usaha menyusukan anak secara eksklusif,” katanya.
Sekiranya ibu sudah berniat menyusukan anak sepenuhnya, mereka perlu membuat persediaan ketika masih mengandung.
Menurutnya, persediaan awal ini sangat penting bagi menguatkan mental supaya apabila mereka berdepan dengan cabaran penyusuan, ibu ini dapat menghadapinya.
Antara persediaan awal ialah menghadiri kelas penyusuan, membaca banyak buku serta melayari Internet mengenai kebaikan susu ibu, mendapatkan pandangan pakar supaya ibu bersedia menyusu semasa kelahiran anak, dalam tempoh berpantang dan semasa ingin meneruskan penyusuan.
Paling penting ketika kelahiran anak, seeloknya susukan anak dalam masa satu jam selepas bersalin. Ini menggalakkan penyusuan susu ibu menjadi lebih efektif dan anak akan lebih bersedia untuk menyusu dengan susu ibu.
Semasa tempoh berpantang, susukan anak secara terus dan tidak sesekali mencampurkannya dengan susu formula atau memberi bayi air masak. Pemerahan susu ibu boleh dimulakan selepas beberapa hari kelahiran dan ibu sudah boleh mula menyimpan stok susu di dalam peti sejuk untuk kegunaan ketika bekerja nanti.
“Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas selama tiga bulan), peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan. Ibu dinasihatkan untuk meneruskan penyusuan secara terus tanpa memberikan bayi susu perahan ketika dalam tempoh berpantang. Ini dikhuatiri akan menyebabkan bayi keliru puting,” katanya.
Di pasaran, terdapat pelbagai produk penyusuan susu ibu yang boleh digunakan seperti beg penyejuk, ais penyejuk berbentuk gel dan pam susu sama ada manual atau elektrik untuk memudahkan ibu semasa hendak memulakan kerja nanti. Cara ini lebih mudah daripada berulang-alik ke rumah untuk menyusukan bayi.
Setelah kembali bekerja, ibu boleh memerah susu sekurang-kurangnya tiga jam sekali di pejabat (sila minta kebenaran dan sokongan majikan untuk tujuan ini) bagi meningkatkan permintaan terhadap payudara supaya menghasilkan lebih banyak susu.
Semakin banyak permintaan, semakin banyak susu dihasilkan dan semakin efektif ibu mengosongkan payudara sama ada dengan cara menyusu atau memerah (apabila berlaku perpisahan sementara bekerja), semakin banyak susu akan terhasil.
Proses stimulasi amat penting untuk meneruskan laktasi atau pengaliran susu. Jadi, penting bagi ibu terus menyusu bayi ketika di rumah, pada hujung minggu dan hari kelepasan.
Payudara akan berasa tegang atau lebihan takungan susu setiap kali selepas hari kelepasan atau cuti disebabkan lebih stimulasi pada hari sebelumnya. Ini akan memudahkan lagi proses memerah susu pada hari itu.
Akui Nor Farah, ketika melahirkan anak sulung Puteri Sara Azalea, dia kurang pengalaman dan persediaan mengenai penyusuan susu ibu.
Namun dia tidak patah semangat dan mendapatkan maklumat mengenai penyusuan. Akhirnya dia dapat menyusukan anaknya secara eksklusif selama dua tahun. “Memang banyak cabarannya menyusukan anak, namun saya tekad dan kuatkan semangat. Alhamdulillah saya berjaya menyusukan anak secara eksklusif sehingga dua tahun dan masih meneruskan penyusuan.
“Sebagai ibu bekerja dengan kekangan masa menguruskan perniagaan, saya tetap mencari masa untuk menyusukan anak. Malah kini walaupun sedang mengandung anak ketiga, saya masih menyusukan anak kedua Puteri Syasya Adalea yang kini berusia dua tahun .
“Ini adalah nikmat yang tidak ternilai bagi seorang ibu seperti saya kerana dapat menyediakan keperluan emosi dan fizikal tanpa memberhentikan susu secara mendadak yang mana akan mengganggu emosi anak yang lebih tua (yang masih menyusu).
“Untuk ibu bekerja seperti saya, sokongan daripada suami, ibu bapa, keluarga dan majikan amat penting bagi meningkatkan semangat meneruskan penyusuan.
“Selain itu, bertemu dengan ahli kumpulan sokongan susu ibu yang menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu bagi mendapatkan pelbagai panduan mengenai penyusuan masing-masing. Lebih penting saya dapat membantu ibu bermasalah dalam menyusukan anak mereka pada awal kelahiran mahupun laktasi semula,” jelasnya.
Selain kebaikan daripada segi meningkatkan antibodi badan, penyusuan susu ibu memberi kebaikan kepada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Biasanya bayi yang disusu sepenuhnya jarang sakit kerana mempunyai antibodi yang kuat.
Anak-anak juga lebih rapat dan mendengar kata. Daripada segi fizikal, mereka mencapai peristiwa penting dengan lebih cepat seperti meniarap, merangkak, berjalan dan bercakap dengan petah lebih awal daripada jangkaan.
“Saya amat gembira kerana dapat menyusukan anak saya dengan susu sendiri yang tersedia bila-bila masa tanpa susu formula.
“Ini kerana dengan menyusu sendiri, saya tahu sumber yang masuk ke dalam perut mereka, berbanding susu formula yang dibuat dengan susu lembu.
“Setiap kali menyusukan mereka, saya berasakan satu keindahan perasaan sebenar bagi seorang ibu. Apabila saya menyusukan mereka, saya mendakap mereka dengan penuh kasih sayang, bukannya lama, hanya untuk dua tahun sahaja,” katanya.
Walaupun berjaya menyusukan kedua-dua anak secara eksklusif, Nor Farah masih belum puas kerana peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif di Malaysia masih rendah. Di kawasan luar Kuala Lumpur, ramai ibu tidak menyusukan anak secara eksklusif dan bertukar kepada susu formula seawal dua bulan umur bayi.
Ramai juga menggunakan istilah kering susu sebagai punca kegagalan penyusuan susu ibu. Konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak salah anggap dengan kebolehan badan masing-masing menghasilkan susu untuk anak-anak.
Justeru, Nor Farah membuka Pusat Penyusuan Susu Ibu, Sarakids untuk membantu ibu terutama ibu bekerja menyusukan anak-anak mereka serta mendapatkan produk penyusuan susu ibu. Kelas penyusuan susu ibu juga dijalankan sebulan sekali untuk ibu mengandung dengan topik khas pada setiap bulan.
“Saya selalu berkongsi kisah penyusuan daripada pengalaman sendiri mahupun daripada ibu yang datang untuk mendapatkan khidmat kaunseling daripada saya.
“Menerusi laman sesawang www.sarakids.com, saya berharap sedikit sumbangan saya akan membuatkan ibu lebih bersemangat menyusukan anak,” katanya yang kini membuka lima cawangan utama seluruh negara dan melebarkan produk ke Brunei, Singapura dan Korea.
Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos baru-baru ini, dia menyeru semua ibu di Malaysia agar menyusukan bayi mereka secara eksklusif enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids termasuk sesi kaunseling penyusuan, kunjungi 42-1, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI jaya, Shah Alam, Selangor atau hubungi 03-78475369.
1 Hari 1 Tazkirah: Dari Masturid bin Syaddad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah tiadalah dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat adalah seumpama salah seorang daripada kamu yang memasukkan anak jari ke dalam sebuah lautan dan diangkat, maka lihatlah sebanyak mana air yang melekat di jari itu (begitu sedikit) begitulah jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. (HR Muslim)
Nota: Pengisian ini telah dijadualkan untuk disiarkan di DuniaSusuIbu.com pada 30/8/2010.
Sumber: Siti Zarinah Sahib (2010). Jadi ibu susuan. MyMetro. 11 Ogos.
KESUNGGUHAN serta semangat ibu kepada seorang cahaya mata, Norsyazwani Rasidi, 26, harus dipuji. Selain menyusukan anak sendiri, Nor Iffah Irdina Muhammad Noor Zamri, empat bulan, dia juga menjadi ibu susuan kepada anak saudaranya, Nor Ladya Sufiya Noor Izham yang kini berusia tiga bulan.
Berkongsi pengalaman bermakna itu, menurut Norsyazwani, sejak mengandung lagi dia sudah menanam azam menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Justeru pada awal usia kandungan, dia mengikuti kelas penyusuan sebanyak dua kali iaitu di klinik kesihatan dan bimbingan daripada kaunselor laktasi di Sarakids.
“Menerusi kelas penyusuan saya mendapat banyak maklumat berfaedah, selebihnya saya mendapatkan maklumat menerusi pembacaan majalah, buku dan Internet. Kemudian saya mendapatkan barangan penyusuan seperti pam susu elektrik, botol serta beg penyejuk.
“Memang pada permulaan saja, ia memerlukan modal yang banyak tetapi selepas itu saya tidak perlu mengeluarkan duit membeli susu,” katanya yang membeli pam susu elektrik berharga RM500.
Menurutnya, pada minggu pertama selepas bersalin dia sudah mula mengepam susu bagi merangsang proses pengeluaran susu dan memastikan dia mampu membuat simpanan yang banyak apabila mula bekerja nanti.
“Pada minggu pertama memang tidak banyak susu berjaya dipam. Dalam masa 40 minit, saya hanya mendapat dua auns saja. Namun saya tidak patah semangat selain menyusukan Nor Iffah secara terus, saya mengepam susu setiap dua jam.
“Lama kelamaan pengeluaran susu semakin banyak dan saya berjaya mendapat-kan susu sebanyak 12 auns dengan sekali pam. Ketika itu perasaan gembira hanya Tuhan yang tahu. “Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan rezeki kepada anak saya untuk terus mendapatkan makanan terbaik daripada susu ibu,” katanya.
Ketika proses berpantang, Norsyazwani cuba memper-kenalkan anaknya dengan botol susu bagi memastikan dia mampu menyusu menggunakan botol susu. Mujur Nor Iffah tidak banyak kerenah dan bersedia menerimanya.
Cabaran paling besar bagi ibu bekerja adalah meluangkan masa mengepam susu di tempat kerja. Ini kerana tidak ramai ibu yang mampu melakukannya disebabkan tidak mendapat sokongan majikan, tiada tempat sesuai mengepam susu serta masa yang banyak untuk mengepam susu.
Namun dia sangat bernasib baik kerana majikan sangat memahami dan memberi sokongan kepadanya untuk menyusukan anak. Sebaik sahaja mula bekerja, Norsyazwani meminta kebenaran majikan untuk mengepam susu iaitu pada jam 8 pagi, 12 tengah hari dan 4 petang.
Kemudian, susu perahan itu disimpan di dalam peti sejuk namun biasanya dia menyimpan di dalam beg yang boleh memuatkan bahan penyejuk. Ini adalah antara kaedah terbaik demi memastikan perahan susu ibu sentiasa sejuk sebelum tiba di rumah.
“Saya berterima kasih kerana majikan sangat memahami dan membenarkan saya keluar untuk mengepam susu yang mengambil masa 30 minit untuk setiap sesi.
“Apabila pulang ke rumah saya menulis tarikh pada botol susu sebelum dipindahkan ke tempat sejuk beku,” katanya.
Lebih beruntung kerana rumah ibu mentua berdekatan pejabat Norsyazwani, jadi dia masih boleh pulang ke rumah pada waktu tengah hari untuk menyusukan anaknya.
Selain menyusukan Nor Iffah, Norsyazwani juga menjadi ibu susuan kepada anak saudaranya Nor Ladya Sufiya kerana dia tidak mahu minum susu menggunakan botol ditambah pula ibunya mengalami kekurangan susu kerana tidak membuat persediaan secukupnya selepas bersalin. Selama tiga minggu, Norsyazwani menyusukan Nor Ladya Sufiya secara terus pada waktu siang dan malam. Kemudian membekalkannya dengan susu menerusi botol yang dipam.
Apabila keluar bekerja, dia pulang ke rumah pada waktu tengah hari untuk menyusukan anak susuannya itu.
“Memang saya perlu kuat-kan semangat mengepam susu kerana perlu menyediakan stok untuk dua bayi. Namun setakat ini keperluan susu masih mencukupi kerana saya memperhebatkan usaha mengepam susu.
“Dalam sehari saya mendapat hampir 21 auns dan simpanan susu masih cukup untuk kedua-duanya,” katanya.
Bagi memperbanyakkan susu, dia menjaga pemakanannya. Mengambil makanan berat serta berkhasiat sangat penting supaya dapat menghasilkan susu yang banyak selain mengambil lebih protein, karbohidrat serta vitamin C.
1 Hari 1 Tazkirah: Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada siang dan malam kecuali Allah mengurniakan kepada hambaNya KeEhsananNya dan sedeqah. Dan tiada keehsanan yang lebih baik daripada berzikir kepadaNya. (HR Tabrani)
Kredit kepada Ismeehan Yusoff yang memberi maklumat ini melalui Facebook, email dan blog (http://ismeehanssharingandcaring.blogspot.com/).
Bengkel Penyusuan Susu Ibu : Kembali Kepada Fitrah
Penyertaan: Wanita hamil/ menyusu, mana-mana pihak yang terlibat dengan perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak atau bayi dan sesiapa yang berminat (Terbuka kepada wanita sahaja)
Tarikh: 2 Oktober 2010 (Sabtu)
Masa: Jam – 8.00 pagi – 2.00 petang
Tempat: Dewan D’mas Perdana, SMK Durian Mas, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun,Terengganu
Anjuran:Kelab Guru Dan Kakitangan (KGKT) SMK Durian Mas dan Klinik Kesihatan AMBS,Dungun
Bagaimana menyertai: Hubungi Ismeehan Yusoff melalui Facebook (ID Facebook - Ismeehan Yusoff)
Yuran : RM 15.00 ( Tea/Lunch/ Bahan/ dll)
Tentatif :
8.00 Pagi – Pendaftaran
8.30 Pagi – Ceramah : Penyusuan Susu Ibu dan Islam
9.30 Pagi – Ceramah : Apa Ada Dalam Susu Ibu (Kaunselor Laktasi Hospital Dungun)
10.30 Pagi – Minum Pagi/ Potluck
11.00 Pagi – Bengkel Amali : Lakukan Dengan Betul
12.00 Tengahari – LDK (Latihan Dlm Kumpulan)
1.00 Tengahari – Penilaian Dan Penutup
——————————————————————————————————————–
Kredit kepada Susuibu.com yang memberi maklumat ini melalui Facebook:
Time: October 5 at 8:00am – October 7 at 5:00pm
Location: Pullman Putrajaya Lakeside Hotel
The conference will be exploring the wealth of knowledge, experience and understanding we have about breastfeeding as the natural way to feed and nurture our babies. We believe that if empowered, women are able to successfully breastfeed and nurture their child naturally.
Internationally renowned speakers along with Malaysia’s own lactation experts form the exceptional list of invited guests who will be present at the conference….
International Speakers for this conference will be:
• Dr. Jack Newman – world renowned expert on childcare and breastfeeding, author of best selling books “Ultimate Breastfeeding Book of Answers”
• Sue Cox – distinguished author, speaker and pioneer in breastfeeding support in Australia. Author of “Breastfeeding with Confidence” and “Baby Magic”
• Diana West – distinguished speaker and author of best selling book “Making More Milk”
Other than Malaysia, we are expecting participants from various countries around the region specifically Singapore, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Japan and Australia.
The conference runs over three days:
Day 1 – will focus on the way babies and breasts are meant to be their unique anatomical and physiological qualities, and the part we play in ensuring they get together for mutual benefit – this is what some people call Mom & Baby Magic! We will also focus on issues surrounding Milk Production, why some women experience low milk supply and how to overcome it.
Day 2 – focuses on the importance of Mother-to-Mother Support in ensuring Breastfeeding Success and discusses
the controversies which surrounds breastfeeding. This will also be THE day whereby participants will be able to meet up with the distinguished authors.
Day 3 – Intensive Workshop with Dr. Jack Newman, Diana West and Sue Cox- will focus on 7 special topics exploring how scientific and current medical practices or protocols influence breastfeeding knowledge and practice. This workshop is especially useful for Health Professionals, Lactation Consultants, Lactation Counselors,
Health professionals and those supporting mothers to breastfeed.
For more information, go to http://susuibu.com/siconf2010/
——————————————————————————————————————–
Kredit kepada MBfPC yang memberi maklumat ini melalui Facebook:
Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC) adalah jaringan sukarelawan pembimbing Ibu-ke-Ibu (Peer Counselors) yang terlatih untuk memberikan galakan, maklumat dan sokongan kepada ibu-ibu di dalam penyusuan ibu. Program latihan MBfPC ini telah dikendalikan oleh SusuIbu.com dan sebahagian dana ditaja oleh UNICEF serta mendapat sokongan daripada WABA.
Program MBfPC ini telah bermula pada awal Januari tahun 2010 dengan melatih 19 individu sebagai ‘MBfPC Program Administrator’ yang seterusnya berfungsi untuk melatih bakal pembimbing Ibu-ke-Ibu. Kini, MBfPC telah melahirkan seramai 125 orang pembimbing Ibu-ke-Ibu yang telah terlatih menerusi siri program latihan MBfPC yang dijalankan menikut kawasan (Utaran, Selatan, Pantai Timur, Pantai Barat) di Semenanjung Malaysia.
Pengumuman Program Latihan MBfPC di Sabah:
Tarikh: 29 – 31 Oktober 2010
Masa: 8:00 pagi hingga 6:00 petang
Tempat: Bilik Beaufort (Tingkat 1), Lembaga Tabung Haji Sabah, Jalan Sembulan, Peti Surat 12908, 88832 Kota Kinabalu, Sabah
Bagaimana menyertai: Hantarkan butiran (nama, alamat, no.telefon & e-mail) ke admin[@]malaysianbfpc.org
Sumber: (Ogos 2010). Susu Ibu beri kekuatan Khadijah terus hidup. Majalah Pa&Ma, 119: 24-26. Selangor : Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd
|
BIODATA
Nama : Nur Sumirah Mohd Dom Usia : 29 Pekerjaan : Pegawai Sains di IPTA Nama suami: Muhammad Faisal Hamid Usia : 30 Nama anak : Aisyah Humaira’ dan Khadijah Nur Syifaa’ Tarikh lahir : 26 Disember 2006 dan 12 April 2008 |
![]() |
Pengalaman melahirkan anak kedua yang hanya diberikan peluang 50-50 peratus untuk hidup menjadi kenangan paling tidak akan dilupakan sepanjang hidup ibu ini. Dia menceritakan bagaimana ‘bayi ajaibnya’ berjuang untuk hidup dan kekuatan susu ibu membantu perjuangan itu kepada HASNITA SAWAL.
Memiliki pengalaman hebat sebagai ibu yang berjaya menyusukan susu ibu secara eksklusif membuatkan ibu tabah ini yang lebih mesra dengan panggilan Mirah dianugerahkan Anugerah Johan Ibu Contoh berjaya menyusukan anak bermasalah sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2009 peringkat Hospital Serdang.
Melahirkan anak kedua secara pramatang pada minggu ke-29 kehamilan menjadi memori yang tidak akan dilupakan saat bergelar ibu. Kelahiran Khadijah menguji kekuatan jiwanya sebagai seorang ibu. Rasa sedih dan sayu bercampur baur melihat anak kecilnya bertarung nyawa dan bergelut dengan kesakitan sepanjang berada di dalam wad NICU. Khadijah yang lahir sebagai pra-matang tinggal di wad NICU selama 71 hari kerana beratnya hanya 0.934 kg sahaja.
“Hingga sampai ke satu tahap saya pasrah dan reda jika ALLAH mahu mengambilnya. Namun jauh di sudut hati tidak pernah putus harap, berdoa dan memberikan Khadijah galakan agar dia kuat untuk terus hidup,” ceritanya yang masih jelas di ingatan bagaimana tangan kecil anaknya menggenggam jari kelingkingnya, seolah-olah memberi isyarat tahu kehadiran ummi dan abah di sampingnya. Kerlipan mata si kecil saat Mirah dan suami bercakap dengannya merupakan detik yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Kenangan itu walaupun sukar namun sangat terkesan di hati saya. Pengalaman melihat bagaimana badan Khadijah ditebuk dengan enam lubang di bahagian abdomen dan disalur dengan tiub yang bersambung ke botol-botol air untuk mengeluarkan angin dari paru-parunya turut sukar dilupakan,” demikian menurut pemegang Ijazah Sarjana Biokimia ini.
Cabaran menyusukan
Si kecilnya mengalami beberapa masalah kesihatan seperti apnea-stop breathing for a while, neumatoraks, buah pinggang dan jaundis. Namun selepas melepasi tahap kritikal, doktor membenarkan dia minum susu dalam kuantiti hanya 1cc. Melihat kemajuan peningkatan berat badan yang positif, doktor menggalakkan memberi susu badan yang dipam kerana katanya itulah ubat terbaik untuk bayi pramatang.
“Doktor tidak menjangka dia boleh pulang awal pada berat badan 1.8 kg. Alhamdulillah hasil pemeriksaan pada otak mendapati ia terbentuk baik dan tiada komplikasi kesihatan. Doktor pakar pediatrik di Hospital Serdang memanggil Khadijah dengan panggilan ‘baby yang eventful’ disebabkan komplikasi di awal kelahirannya dan dia hidup. She’s our miracle baby.”
Bukan mudah tugas menyusukan bayi pra-matang. Ia diakui oleh Mirah tetapi tegasnya ia bukan perkara mustahil asalkan ibu tahan diuji dan sabar menghadapinya.
Saya juga mencuba pelbagai jenis puting botol susu kerana anak tinggal dengan pengasuh. Khadijah juga sukar tidur, saya terpaksa menyusukan dia sambil berdiri dan mendodoikan dalam masa yang sama. Ia berlarutan selama beberapa bulan sehingga dia mahu menyusu secara berbaring pula,” ujarnya yang terpaksa pula belajar posisi menyusu sambil berbaring.
Itu belum termasuk masa yang banyak dihabiskan untuk tujuan pemeriksaan dengan doktor pakar yang mana banyak mengambil masa kerja di pejabat. Semuanya memerlukan pengorbanan dan pengertian daripada majikan. Mujur, Mirah mendapat semuanya itu.
Ibu yang tinggi dengan semangat juang ini turut gigih dan berdisiplin mengepam susunya di pejabat untuk dijadikan stok memenuhi keperluan anak.
“Ia memang mencabar tetapi Alhamdulillah saya berjaya melaluinya dan manisnya sekarang bila melihat anak membesar sihat seperti anak lain,” akuinya memiliki anak pra-matang mendidik jiwa lebih dekat pada sang Pencipta.
Ibu bapa harus cuba memberi yang terbaik pada anak, terutama anak pramatang. Banyak aspek perlu diutamakan seperti pemberian susu dan makanan berkhasiat, menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, mempunyai pencahayaan yang baik, tidak merendahkan keupayaan anak sebaliknya mendorong kemajuan fizikal dan emosi dia, pendek kata perlu lebih perhatian dan kasih sayang.
Tekankan didikan agama
Kini, Mirah boleh tersenyum puas melihat dua puterinya membesar dengan sihat dan riang. Kakak sulung mula menunjukkan minat yang tinggi dalam akademik sejak dihantar ke tadika seawal usia tiga tahun.
Biar sesibuk manapun tugasnya di pejabat, Mirah tidak pernah lupa memperuntukkan masa untuk anak-anak. Aktiviti mudah seperti bermain, membaca, bersiar-siar membantunya mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menangani kerenah anak-anak memang memenatkan.
Tetapi pendekatan yang digunakan dalam mendidik mereka terutama tetap bertegas namun masih menerapkan fahaman kasih sayang mampu membentuk anak-anak yang cemerlang emosi dan spiritual.
“Kami banyak membiarkan anak berdikari dalam membuat keputusan atau melakukan sesuatu dan memerhatikan pilihan mereka. Kami juga mementingkan penekanan agama dan pembentukan jati diri Islam dalam diri anak,” ujarnya yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya.
1 Hari 1 Tazkirah : Dari Abu Tsabit, dalam suatu riwayat lain disebutkan Abu Said dan dalam riwayat lain pula disebutkan Abulwalid, iaitu Sahl bin Hanif r.a, dan dia pernah menyaksikan peperangan Badar, bahawasanya Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang memohonkan kepada Allah SWT supaya dimatikan syahid dan permohonannya itu dengan secara yang sebenar-benarnya, maka Allah akan menyampaikan orang itu ke tingkat orang-orang yang mati syahid, sekalipun ia mati di atas tempat tidurnya. (Riwayat Muslim)